Wednesday 15 May 2024

Queen Of Tears

 


Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea.

Di Johor saya selalu pelik tengok kawan2 serumah saya menonton drama Korea, saya rasa banyak lagi perkara lain boleh saya buat selain menonton drama. 

 Tapi saya rasa sedap pula tengok suami saya asyik menonton Netfix. Tentulah saya tidak berminat melihat filem2 yang dia tonton. Jadi, saya cuba memilih drama Korea.

Saya menonton Marriage Contract, saya rasa drama tu best, tapi saya tak tengok sampai episod akhir pun. Rasa bosan dan macam dah tahu kesudahannya. Saya berhenti menonton.

Hampir setahun selepas itu, saya tertengok drama Queen of Tears di Netflix. Saya memang suka sangat kalau drama air mata ini. Saya terus tonton.

Tapi saya macam tak teruja sangat pun sebab hero dia muka jambu, saya tak minat. Saya tengok aje lah, sebab heroin dia cantik sangat sangat.

Rupanya cerita dia menarik sangat. Saya menangis teresak esak.

Kisah rumahtangga pada tahun ketiga perkahwinan tanpa anak yang sangat membosankan, keluarga yang menyebabkan semua jadi stres.

Akhirnya si lelaki memutuskan untuk bercerai. Sebelum surat cerai diberi kepada isteri, isterinya didiagnos penyait tumor otak yang hanya boleh hidup 3 bulan sahaja.

Suaminya gembira mendengar berita itu. Fikirnya, ah tak payah cerai lah, tunggu sahaja bininya mati 3 bulan. Setel!

Sepanjang 3 bulan, suaminya cuba berbaik dengan isterinya dengan niat supaya isterinya yang kaya mengubah wasiatnya memberi harta kepada si suami.

Ketika si suami berbuat begitu, rupanya si suami baru tahu bahawa dia benar benar mencintai isterinya. Dia betul sayang rupanya. Dia sedih isterinya sakit. 

Tapi lepas tu, isteri dia jumpa surat cerai. Alamak, macam mana ni? 

Okay sekian ceritanya.

Monday 18 March 2024

Terik Kering

Hari ini kelas saya 12.55 hingga 2.40. 
Sambung lagi 3.00 - 3.25, kemudia akhir 3.50 hingg 4.40 petang.

Cuaca meyimbah panas yang menyengat. 
Puasa Ramadan ketujuh hari ini terasa mencabar sekali.

Tekak kering. Mujur badan masih tidak longlai. Ada murid tingkatan 1 dalam kelas mengadu letih, rasa sedikit tak boleh bernafas katanya. Alahai kasihan. Saya minta dia berbuka sahaja, tidak mahu. Call parent juga tidak mahu. Saya suruh dia rehat di belakang, bawah kipas, keluar sedikit dari crowded rakan rakan yang menghimpit. Buka butang baju, stokin.

Sudah lah muridnya comel sekali, seiras Wajih, nampak baik dan sopan. Zarif namanya. 

Begitulah fitrah kita manusia. Akan letih serba serbi apabila tidak mendapat setitis air dan makanan. Betapa lemahnya insan. Sehari nan pendek pun sudah bergantung dengan titisan ringan sang air, tetapi masih bongkak berbangga diri menjadi tuan berhidung tinggi!

Tuesday 31 October 2023

Ujian

Saya selalu percaya bahawa setiap orang ada ujian yang berbeza beza.

Kerana dunia ini adalah rumah ujian buat kita, maka tak ada siapa siapa pun yang hidupnya ibarat syurga.

Saya kira orang yang kaya dan kelihatan cukup serba serbi, pun akan Allah letakkan gusar resah dalam jiwa jiwa mereka. 
Allah Maha Adil, masakan diberi gusar dan resah hanya untuk orang orang miskin?

Cuma cerita gelisah kita mungkin berbeza. Tetapi wujudnya tetap sama. Tak ada siapa yang tidak ada resah.

Orang yang hidupnya riuh meriah, orang yang rumahnya sunyi sendiri, keduanya dalam ujian Tuhan.

Kitalah yang mengawal paras sabar tabah kita, panjang pendek nafas ketahanan kita.
Kita juga yang memperhias sedikit banyak syukur kita, agar hidup kita tumbuh indah.



Thursday 13 April 2023

Perkahwinan Kita

Baru sebentar tadi, kakak sebelah meja bercerita mengenai suaminya yang mempuyai karakter jauh berbeza dengan dirinya.

Katanya, dia terlalu tertekan sehingga pernah lari dari rumah, pernah meminta cerai. Mujur suaminya tenang. Dan sekarang masing masing menerima karakter masing masing dengan hati yang terbuka, rupanya boleh sahaja bahagia katanya.

Setiap kali mendengar cerita cerita perkahwinan, mestilah kita memikirkan tentang perkahwinan kita.

Saya selalu memberitahu kepada Tuhan, bahawa saya memulakan pernikahan saya dengan sebuah tawakal yang paling tinggi saya serahkan pada Nya, lalu saya berharap Tuhan Al Wakeel memberi yang terbaik dalam sepanjang hari hari pernikahan saya, lebih dari apa yang saya harapkan.

Bukan semua sikap suami saya senangi, dan sikap saya juga pasti ada yang dia tidak berkenan. Saya kira begitulah juga dalam tiap tiap perkahwinan pun. Kerana kita tidak dibenarkan berkahwin dengan sang sempurna si malaikat.

Sebab itu, Tuhan menjadikan perkahwinan sebagai tanda tanda kebesaranNya yang boleh menyatukan dua insan walaupun berbeza sikap hari-harian, berbeza kegemaran, berbeza keutamaan, berbeza pengurusan. Sekian banyak perbezaan, semoga kita tidak berbeza dalam satu tujuan iaitu untuk menjalani ibadah perkahwinan dengan baik dan bertanggungjawab.

Kerana, perkahwinan ialah ibadah paling panjang yang kita laksanakan. Dan, mungkin juga paling rumit, boleh jadi juga paling indah dan menyenangkan.

Saya masih ingat bagaimana rasa tidak bahagia ketika di rumah sewa bersama housemate dahulu. Saya selalu berfikir, adakah begini rasanya orang yang tidak bahagia dalam perkahwinan? Rumah tidak menjadi syurga buat kita, butir bicara penghuni rumah sentiasa menyakiti kita. Selalu rasa ingin keluar daripadanya.

Dengan ujian Tuhan yang itu, saya jadi pandai syukuri kurniaan Tuhan yang ini, Bahawa pasangan saya, walaupun tidak sempurna, tetapi perkataannya tidak menyakiti, dan rumah itu walaupun bukan istana, tetapi kita boleh mencipta bahagia di dalamnya.

Semoga perkahwinan kita menjadi sesuatu yang kita syukuri, hari ini dan juga di akhirat nanti.





Hari Raya 2023

Raya kali ini adalah raya kelima saya bersama suami. Tahun 2020 dan 2021 kami beraya berdua di Pangsapuri Rimba Shah Alam, kerana PKP ketika itu.

Kami tiada baju raya tahun ini. Entah kenapa, saya bukan dalam mood untuk membeli baju. Saya tidak rasa semangat untuk memilih baju.

Raya tahun lepas, kebetulan saya dalam mood itu. Tapi tidak tahun ini. Memang kebanyakan tahun pun, saya memang jarang ada baju raya.

Kami membuat keputusan untuk memakai sahaja mana baju yang telah ada dan sesuai.

Semoga raya untuk kami tetap meriah walaupun tanpa baju raya.


Sunday 4 December 2022

Hari Minggu

Setiap hari saya menghitung hari untuk ke hari minggu. Kadang kadang saya berfikir juga, hidup saya ini memang kerja nya menghitung hari minggu kah?

Kerana hari minggu saya tak perlu berjumpa orang. Itu yang paling saya nikmati.

Sabtu semalam, suami saya juga cuti. Jadi, paginya seperti selalu kami keluar bermain badminton, jump rope, dan berjoging.

Selepas itu, kami ke kedai nasi kak wok di Taman TTDI Jaya, tidak jauh dari rumah. Sedap sungguh nasi nya. Hampir setiap minggu kami ke situ.

Suami saya bercadang untuk ke Aeon mencari baju untuk dipakai dinner company nya minggu depan. Tuhan sahaja yang tahu, malasnya saya mahu ke mall yang besar itu. Letih nak berjalan dalam kawasannya yang maha luas!

Sebenarnya, 3 minggu sudah, kami sudah ke Icity Mall, sambil membeli handphone baru saya, kami mencari juga baju untuk dinner itu. Tapi tak ada yang berkenan. Kata suami, dia akan naik ke pentas untuk terima anugerah, jadi takkanlah nak pakai selekeh.

Jadi memandangkan dinner dah minggu depan, saya gagahlan hati menemani sang suami. Dalam hati saya berdoa, jumpa la cepat cepat!

Sampai di Aeon, Aeon belum buka! Hahaha.
Kami tunggudalam 10 minit di luar sambil berselfie dan bercerita. 
Mujur doa saya makbul, sekejap sahaja, sudah berjumpa baju yang berkenan. Fuh, alhamdulillah.

Pulang dari Aeon, suami nak potong pula seluar yang baru dibeli. Kami ke Seksyen 19, kedai alter baju. Kebetulan, baju saya telah siap ada dalam kereta untuk dialter dari hari tu, belum dibawa ke kedai.

Dalam perjalanan ke Seksyen 19, kami lalu MBSA Convention Center. Ramainya orang!
Oh rupanya di situlah tempat Pesta Buku Selangor yang sedang berlangsung. Suami kata, jom kita gi nak? Saya teruja mahu pergi, tapi, pastinya mahu sendiri. Hahah. Tapi tak apa lah, saya pergi dengan suami pun boleh juga.

Balik dari kedai alter baju Seksyen 19, kami ke Pesta Buku. Pesta Buku ni tempat paling best bagi saya. Saya betul betul teruja biarpun bukan sendirian. 

Saya terus menuju reruai ILHAM, dalam kepala sudah ada buku yang mahu dibeli. Suami mengekori saya. Saya tahu, suami tak berapa berminat membaca buku. Mujurlah ada talk sifu hartanah di stage. Nampak muka suami bersinar sinar. "Abang nak dengar ni!" Saya pun terus, "okay abang duduk sini, saya cari buku okay!" 

Maka boleh lah saya berjalan sendirian di reruai yang pelbagai. Ada 5 buku yang saya beli. Rasa ingin melompat!

Balik dari Pesta Buku, kami keletihan yang amat. Sampai di rumah, selepas solat Zohor, kami tidur.

Untuk makan malam pula, jam 5.30 petang, kami keluar makan di kedai di Seksyen 23. Alhamdulillah, begitulah hari minggu saya.

Hari ini, hari Ahad. Suami saya bekerja, saya sendiri di rumah. Mengemas rumah, memasak, membasuh dan juga menonton drama. 

Indahnya kalau hari minggu ada 4 hari ya. Alhamdulillah untuk segalanya.


Sunday 16 October 2022

DIARI

 Sejak kecil, saya ingin sekali mempunyai diari kerana terinspirasi dari diari diari kakak-kakak yang penuh satu laci yang saya mencuri membacanya. Saya masih ingat saya bertanya kakak, apa itu diari? Jawab kakak, diari itu buku yang kita tulis tentang perkara yang berlaku setiap hari. Contohnya, hari ini saya makan ayam goreng. Saya masih ingat contoh itu.

Ketika sekolah rendah, saya mencuba cuba menulis diari. Ketika itu, tulisan pun senget benget. Saya menulis tentang perasaan saya ketika menjawab peperiksaan hari itu. Kerana terlalu kecil dan naif, buku itu sampai di tangan abang yang nakal. Abang menggelakkan tulisan saya dan menceritakan kepada semua orang tentang tulisan saya. Mereka tergelak kerana saya menulis, 'aku tak boleh jawab periksa, aku pakar jawab jah.'

Mereka terhibur dengan perkataan pakar itu. Saya jadi malu, dan sejak itu saya bersungguh sungguh menyembunyikan sehabis mungkin diari saya. Tapi, saya tidak berhenti menulis. 

Setiap fasa dalam hidup saya akan ada tulisan yang menemani. Cuma ketika saya di USM, diari saya di adalam laptop. Dan, apabila laptop itu rosak, hilanglah semuanya.

Saya serik, dan saya menggunakan buku kembali. Sebenarnya, buku lebih dekat dengan nurani. Saya menulis keceriaan, kemarahan, harapan dan impian. Segala perasaan terkumpul di situ. Crush senyum pun saya tulis. Bakal suami lambat reply whatsapp pun saya tulis. 

Tetapi, sejujurnya untuk tahun 2022, saya tidak lagi sempat menulis baris perasaan yang hadir. Mungkin usia yang tua menjadikan saya melepaskan sekian rasa di udara sahaja, bukan lagi di buku diari. Namun seharusnya, kedewasaan membawa saya ke daerah mendekati Tuhan. Melepaskan semua perasaan kepada-Nya.



Queen Of Tears

  Selepas Winter Sonata yang saya tonton ketika darjah 6, saya tidak lagi menonton apa apa drama Korea. Di Johor saya selalu pelik tengok ka...