Wednesday, 18 August 2021

VAKSINASI

Semalam saya selesai menerima vaksin bagi dos kedua Pfizer. 

Saya ke Klinik Tanjung Medik bersama suami. Pengalaman dos pertama 3 minggu lalu sungguh pahit sehingga saya jadi trauma untuk ke tempat yang sama lagi.

Dari pagi saya resah, malas, dan lemah untuk ke sana. Tetapi saya paksakan diri juga.

Mujur suami cuti dan boleh menemani saya ke sana. Dan kali ini alhamdulillah tidak seperti 3 minggu lalu yang masa temujanji ditukar, ramai orang foreigner yang tak jaga penjarakan sosial, asap rokok dan tempat yang sempit yang membuatkan saya MARAH SEKALI

Semalam alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Mungkin kah kerana saya membuat aduan kepada KKM berkenaan kejadian 3 minggu lalu. Entah.

Tetapi tetap ada juga yang sakit. Cucuknya sakit sekali tidak seperti yang pertama.

Saya rasa seperti ditikam dengan pisau di bahu.

Selepas dicucuk, saya berjalan longlai ke pintu keluar, rasa ingin rebah, sakit sungguh.

Saya masuk ke kereta, mujur suami parking dekat. Suami bertanya pun saya malas nak jawab, saya hanya kata nak balik. Saya minta suami bawa laju sikit kereta sebab nak sampai cepat sebelum hujan turun sebab dah renyai renyai hujannya. 

Sampai di rumah, saya tukar baju dan mandi, baru lah rasa lega. Saya cerita pada suami sakitnya rasa seperti dicucuk dengan  pisau, bukan jarum. Pedih.

Kata suami, 'biasalah cucuk memang sakit.' Hmmmm.

Petang itu saya ceria sebab dah lega dah selesai vaksin, dan dah tak sakit.

Malamnya, saya tidur. Pukul 3 pagi saya terjaga, saya kesejukan sangat. Saya bangun tutup aircond. Padahal sebelum ini aircond dibuka sampai pagi. 

Masa tangan saya nak capai remote aircond di dinding, saya mengaduh sakit. Sakit sangat tempat cucuk tu. Suami saya terjaga. Saya rasa badan saya berat sekali. Badan saya panas.

Saya tidur tidur ayam sehingga pagi.

Lepas sarapan, saya ambil 2 biji panadol actifast.
Dah lama tak demam. Rasa tak best pula.

Doakan saya sihat ya.


Wednesday, 7 July 2021

Terluka

 Antara derita PJJ yang perit sakit adalah mendengar kata lidah manusia. 


Jiwa sudah menderita berjauhan, ditusuk pula dengan kata yang menambah pedih. Aduhai. Kalaulah sahaja sang pemilik lidah itu tahu betapa tajam bilah katanya, pasti dia juga tidak sanggup melukai orang dengan kata begitu.

Tetapi pasti dia tidak tahu. 


Sebenarnya bukan isu PJJ sahaja. Tetapi apa2 sahaja pun, jagalah lidah kita. Tak perlu mencadang usul tanpa ditanya. Tak perlu menjadi penilai tindakan orang tanpa diminta. 


Entah mungkin jiwa saya yang lembik, tapi saya benar2 tidak suka orang menilai nilai tanpa saya meminta pada mereka "apa pendapatmu?" 


Kalau saya bergerak ke tempat suami saya, kata mereka, eh suami mu lah harus ke sini. Kan dia suami. 


Kalau suami saya ke sini, eh engkau lah ke sana, sana kan dah ada rumah, tak perlu sewa hotel lagi. 


Jujurnya, tidaklah setiap kali saya alami sebab saya bukan jenis bercerita pada satu dunia haaa minggu ni nak kesana, haaa minggu ni suami datang sini. Tapi sekali dua kena pun, saya terus lemah, sebab saya tak suka menerangkan kisah peribadi saya kepada orang yang tidak perlu. 


Itu saya tidak bercerita pun ditanya tanya, kemudian diulas2 tindakan kami mengapa begitu mengapa begini. Sungguh, memang dua jawapan itu saya terima dari orang berbeza2. 


Percayalah, apa jua tindakan orang, sudah beribu kali difikir2 baik buruknya. 


Kalau minggu itu suami saya datang, itu lah yg terbaik kami fikir walaupun terpaksa sewa hotel. 


Kalau minggu itu saya ke sana, itu lah yang terbaik kami pilih walaupun saya bawa kereta sendirian. Kadang sebab saya cuti lebih lama, lebih untung jika saya kesana. 


Anda, orang luar dari rumah tangga saya tak perlu baik hati nak berfikir begitu begini. 


Sekali dua tanya khabar bagi cadangan, okay.

Tapi kalau banyak2 kali memberi pendapat yg tak saya minta, ia menyesakkan saya. 


Anda mahu saya komen semua tindakan anda? Boleh. Nak dengar?

Perempuan

 MENJADI PEREMPUAN


Harus apa perempuan itu? Menjadi lembut gemalai dikata bodoh seperti keldai. Menjadi gagah dan kuat dikata bongkak tiada siapa hendak. Lalu?

Sebenarnya tidak susah menjadi perempuan, yang sekalian paling payah adalah menjadi perempuan yang mendengar segala kata ‘perempuan harus begini - harus begitu..’. Itu, sulit sekali.

Ketika perempuan itu kuat dan berdikari, dikatanya apa kamu ini, mintalah suamimu mengurusi, apa guna bernikah jika engkau lakukan jua sendiri.

Ketika perempuan itu terlalu bergantung, dikatanya apa kamu ini, kita wanita perlu ada kekuatan kendiri, bagaimana hidupmu kalau engkau nanti ditinggalkan suami? 

Kalau perempuan itu gemuk, ditakutkan nanti suamimu mencari yang lain.

Kalau ia makin kurus, ditanya tanya apakah tidak kamu bahagia?

Justeru bagaimana harusnya menjadi perempuan itu. Katakanlah pada aku.

Aku lah orang yang begitu sejati hati perempuannya – tidak boleh sedikit mendengar orang berkata ‘perempuan harus begitu begini’ lalu aku mahu sekelip mata menjadi begitu begini.

Perit. Udara untuk perempuan bernafas penuh dengan ugutan dan ketakutan. Di mana kasih sayang untuk perempuan?

Paling melukakan yang berkata begitu begini adalah jua perempuan. Ah apalah sahaja ada dalam jiwa mereka, selain memegang watak pembuli?

Kawan kawan, kewujudan kita di sini bukan untuk menilai keperibadian orang lain. Tetapi untuk menilai peribadi sendiri.

Kalau perempuan itu kuat, katakan bahawa dia kuat.

Kalau perempuan itu bersifat bergantung, katakan bertuah ia punya tempat bergantung.

Kalau perempuan itu bekerja, katakan dia beruntung punya pendapatan.

Kalau perempuan itu suri rumah, katakan dia punya kelebihan boleh mengurus sempurna keperluan keluarga.

Asalkan segalanya di jalan yang betul, tiada satu sifat yang perlu kita persoalkan!

Dunia ini sudah cukup letih untuk kita hadapi, jangan tambah beban orang dengan menjadi pembuli.

Saturday, 21 December 2019

Hari Ini



Aku masih sendirian di rumah sewa.
Seperti biasa, sebelum tidur, aku akan berfikir perancangan untuk hari esok. Ada 3 pilihan yang perlu aku pilih sama ada, keluar membeli barang barang kelengkapan memadangkan banyak keperluan sudah habis, atau aku mahu mengemas rumah kerana rumah sangat bersepah, atau aku mahu ke koperasi siapkan kerja. Aku tidur tanpa apa apa keputusan.

Pagi 21 Disember 2019 (Sabtu), selepas solat Subuh, aku menjawab whatsapp Kak Rahmah tentang bagaimana mahu mencari gambar bunga bunga di internet (kahkahkah..). Aku mengajarnya melalui whatsapp satu persatu sehingga lah dia selesai menyiapkan tugasannya. Perutku lapar. Aku bersiap mahu keluar mencari sarapan. Sebelum keluar, aku masukkan kain ke dalam mesin basuh.

Aku memandu ke kedai Sahabat tidak jauh dari rumahku. Tiba tiba rasa rindu pada Hafiz kerana selalu pagi Sabtu, kami akan bersarapan di sini. Aku duduk di sebuah meja hujung. Adik perempuan datang mengambil pesanan. Aku memesan roti canai kosong satu, dan teh o ais. Kemudian, aku bangun mengambil pula nasi goreng dan telur mata. Rasa nak makan semua. Aku makan sendirian, menikmati sedap hidangan restoran tersebut, dan membuat pesanan tambahan untuk aku bawa pulang makan tengah hari. Aku berjaya habiskan semua makanan yang aku pesan.

Pulang ke rumah, aku terus mengemas bilik. Aku mengambil keputusan untuk mengemas rumah hari ini, Vakum, lap lantai, buang sampah, lipat kain, susun buku, bersihkan kipas. Kemas. Aku turun pula ke bawah. Mengemas dapur pula. Sambil itu, aku membuka youtube memasang ceramah Dr Norhafizah Musa. Sempat habis 2 siri ceramah beliau aku dengar sepanjang mengemas, dapur dan ruang tamu. Pertama tentang sabar, kedua tentang ikhlas.

Setelah siap semuanya, jam menujukkan pukul 12.15 tengah hari. Aku makan nasi lemak yang aku bungkus tadi. Kemudian aku naik ke bilik baring dan rehat. Whatsapp group koperasi berbunyi. Kak J meminta siapa yang free untuk ke koperasi kerana ada guru yang ingin membeli buku anaknya. Aku mengomel dalam hati, bukankah esok baru kedai buka? Hari ni kan tutup? Aku diam tak memberi respon. Kemudian, Nasuha respon dan boleh ke koperasi. Kak Rahmah pula marah marah Kak J, sama seperti apa ada dalam hatiku. Katanya, beli je la esok, bukannya urgent pun. Aku geleng gelengkan kepala, Kak J ni bagi muka sangat kat orang tu (cikgu yang nak beli buku tu), geram pulak aku rasa.

Aku menyambung rehat sambil tengok facebook dan instagram. Rasa mengantuk. Tapi zohor baru masuk, nanti terlambat pula solat. Aku serba salah, tapi aku mengantuk, rasa dah hanyut. Dalam proses nak terlelap, notifikasi whatsapp berbunyi. Hafiz mesej. Katanya dia dah belikan tiket untuk aku. Dia minta aku check emel, gitu gini gitu gini. Selesai. Aku menyambung rehat, tertidur  tapi tak berapa lena. Mungkin sebab tak solat lagi. Jam 2.19 pm aku bangun mandi dan solat.

Aku rasa penat. Kali ini memang aku nak tidur, sebab dah mandi dan solat. Jam dah pukul 3.40 pm. Aku baring dan cuba untuk tidur. Jam 3.50 pm telefon aku berbunyi, ada panggilan. Aku rasa geram sebab mengganggu aku baru nak sedap sedap tidur, rasa sakit kepala sebab bangun dengan terkejut ketika awal awal tidur. Kak J telefon, katanya dia mahu ke koperasi siapkan kerja, memang banyak juga sebenarnya kerja belum setel untuk jualan buku. dia bertanya aku nak ke sana atau tidak. Aku memang berhajat nak ke koperasi, tapi jam 5.00 petang kerana dah janji dengan supplier. Bukan sekarang.

Aku katakan aku solat Asar dulu kemudian baru ke sana. Selepas asar, aku ke koperasi. Mengangkat dua buah meja kantin dan dua buah bangku kantin seorang diri. Kak J pula siapkan label di dalam koperasi. Kak J mengucap panjang kenapa aku tak panggil dia angkat meja. Aku kata tak apa. Dalam hatiku, kalau panggil, lagi lambat la siap kerja. Benda boleh buat sorang buat apa buat dua orang.

Jam 6.20 pm aku pulang, Kak J dan anaknya Khadijah pulang. Aku singgah ke kedai Dapur Istimewa membeli mee goreng sebab rasa lapar. Balik rumah, aku makan dan tak habis simpan dalam peti buat sarapan esok. Azan Maghrib kedengaran. Aku naik ke bilik, solat maghrib, mengaji Quran, dan menulis di sini.

Sekejap lagi, aku nak telefon Mama di kampung. Abang abang dan kakak masih ramai di kampung. Aku sahaja sendirian di sini. Aku rindukan mereka. Selepas telefon Mama, aku rasa aku nak mandi dan solat Isyak. Jam 9.15 pm mesti Hafiz mesej. Biasanya aku akan bersembang tak lama, sebab kesian dia baru balik kerja. Jam 10 malam, aku cuba tamatkan perbualan. Aku bersiap siap nak tidur. Tapi biasanya aku main handphone dulu. Jam 11 baru kalut nak tidur.

Begitulah 21 Disember 2019 aku.
Semoga Allah redha.

Tuesday, 12 November 2019

Berkongsi Cerita

Fatimah bercerita tentang respon manusia ketika dia berkongsi kesedihannya di media sosial.

"Alaa beli je la rumah dekat Pulai Jaya. Nanti dekat sikit suami kau ulang alik Batu Pahat."
cadang Kak Maryati.

Kakak lagi satu berkata,
"Alaaaa kau kira dekat lagi, suami akak dulu......."

Kakak lagi satu pula menambah,
"Iya la, kawan pada adik ipar akak tu lagi la susah bla bla blaaaaa..."

Fatimah, suaminya berulang Skudai-Batu Pahat setiap hari, satu hala hampir dua jam.
Fatimah suka berkongsi cerita di Facebook, berkongsi sedih di status whatsapp, merintih rintih tak dapat pindah di media sosial.

Jadi semua orang tahu dia nak pindah. Semua orang tahu dia sedih dan tertekan.
Manusia memberi tindak balas. Ada yang mendoakan, ada yang memberi cadangan, ada juga yang membanding bandingkan kesusahan.

Kata Kak Rahmah kepada saya,
"Kau tak pulak merintih-rintih kat facebook ke status whatsapp ke Dah.."

Dalam hati Cikgu, dia tak tahu aku mengadu kat instagram. Hahaha

Sifat manusia memang nak berkongsi cerita. Tapi Cikgu hanya berkongsi dengan insan insan terpilih yang sememangnya Cikgu yakin memahami Cikgu.

Sebab Cikgu tahu, lagi banyak orang merespon pada cerita kita, lagi sakit dan tertekan keadaan kita. Justeru, elaklah berkongsi dengan semua orang. 

Macam hari tu, Cikgu sedih sangat sebab ada masalah nak cari hotel masa suami nak datang. Cikgu 'tercerita' pada housemates Cikgu. Dan respon mereka hanya menambahkan rasa sakit.
Seorang kata, 'ooo dah tu susah sangat, Hafiz tak payah datang aje la.'
Seorang lagi pula kata, 'Awak tak biasa hidup susah ni Zahidah.'

Aduh. Sampai di situ saja lah Cikgu berkongsi. Kesudahannya menyakitkan juga. Memang tidak akan lah selepas ini Cikgu cerita apa apa.
Cikgu nak sangat nasihatkan Fatimah yang sama sama tertekan dengan Cikgu tu, agar elaklah dari berkongsi dengan semua orang. Ia hanya menambahkan tekanan.

Wednesday, 10 April 2019

Merindui Bonda

Esok malam, saya akan pulang ke kampung. Biarpun tidak bercuti, hanya mengharapkan dua hari hujung minggu, saya mahu pulang memeluk bonda.

Saya rindu.

Hampir dua bulan saya tidak pulang ke rumah itu. Walaupun bertemu bonda baru baru ini di Putrajaya dan Langkawi , tetap tidak sama dengan bermalam dengan bonda di teratak kami, bersarapan bersama waktu pagi dan memasak bersama di dapur itu dan makan beramai ramai dengan kakanda kakanda yang ada.


Merindui juga dengan anak anak saudara di kampung. Tapi mereka sudah menginjak besar, susah mahu peluk cium sekarang.

Semoga saya selamat pulang dan datang kembali. Amin.

Tuesday, 22 January 2019

Tentang Takdir

Lima Bulan Pertama
.
Setiap hari kita ternanti nanti takdir apa yang bakal kita depani. Apakah lebih indah dari sangkaan, ataupun yang sememangnya kita minta dijauhkan, tetapi tetap juga ia datang?
.
Memikirkan jalan takdir di depan, di situlah teruji sikap sebagai hamba. Bahawa harusnya sebagai hamba, bersangka yang baik baik kepada Tuhannya. Takut dan curiga, perlu dilenyapkan dengan keyakinan Allah Maha Baik Sentiasa. Namun tidak menghalang untuk sentiasa berjaga dan meminta minta untuk sebuah takdir yang indah.


اللهم اني اسالك ان تجعل كل قضاء قضيته لي خيرا
Doa yang diajar Nabi sentiasa memenuhi keinginan di hati, lengkap dan sempurna.
.
Tentang perkahwinan, ada banyak sangkaan yang perlu saya uruskan. Saya menyangka berbagai kemungkinan, sehingga saya begitu tertekan sebelum aqad dilangsungkan.
.
Saya bertanya kepada bakal pasangan, tetapi jawapannya masih tidak memberi saya tenteram. Lalu saya berfikir, dia juga seperti saya. Tidak pun tahu apa di hadapan, maka bagaimana boleh dia memberi kepastian kepada sebuah persoalan?
.
Saya damaikan perasaan hanya dengan memenuhi hati dengan bersangka baik kepada Tuhan.
.
Ketika menjejak lima bulan pertama, ternyata yang baik baik yang saya minta, semua Allah kabulkan. Saya malu sendirian, berfikir yang bukan bukan kepada Tuhan.
.
Saya tahu, hari hari di depan nanti, ujian dan cabarannya akan ada sentiasa. Saya merayu kepada Tuhan, untuk Sentiasa menjadi Maha Baik kepada saya seperti selama ini Dia Memberi tanpa henti.
.
Keperluan seorang hamba sebenarnya hanya ada satu, iaitu Tuhan. Maka ia cukup.



Tiada Daya

Sejak April, saya mengambil alih tugasan guru jadual waktu yang berpindah sekolah.  Guru jadual waktu itu sangat sempurna, cekap dan berkebo...